KhutubKhanah #7 – Kisah Peter dan Anak-Anak

Disini ialah catatan sukarelawan logistik TWB yang gagah bernama Muammar Hafidz atau Muem.

10 April, 2:47 petang

Hari ini aku dan Shafiq mengambil cuti. Selepas selesai Solat Jumaat, kami sudah bersiap-siap untuk perjalanan ke Kedah dan Pulau Pinang. Kami sudah berjanji dengan rakan-rakan yang lain untuk berkumpul di rumah Kak Raiha, senior kami, kira-kira jam 11:00 malam nanti dan akan bergerak ke utara selepas itu.

 

10 April, 2:53 petang

Kami akan ke IKEA terlebih dahulu membeli perabut meja dan kerusi. Rak buku pula Shafiq telah beli pada tiga malam sebelumnya di Putrajaya kerana rak buku biasanya sudah kehabisan stok di IKEA. Kemudian akan ke Bangi pula untuk menukar kenderaan dan mengambil buku-buku untuk anak-anak di utara sana. Namun yang pertamanya adalah, aku dan Shafiq perlu mengangkut 4 rak buku seberat 20kg setiap satunya dari tingkat 3 kediaman kami turun ke kereta.

 

10 April, 4.42 petang

Selesai membeli barang di IKEA, kami bergegas untuk ke Bangi. Walaupun dengan kecekapan Shafiq memandu, perjalanan dari IKEA ke Bangi melalui SPRINT dan PLUS pada hari Jumaat petang bukanlah calang-calang mudahnya. Kami tersekat di atas jalan selama 3 jam sebelum sampai ke Bangi.

 

10 April, 8.30 malam

Kami tiba di Bangi untuk menukar kereta pacuan empat roda terlebih dahulu, yang dinamakan Peter. Tapi sayangnya Peter tiada kanvas pada belakangnya. Jika diteruskan tanpa penutup, apabila hujan pasti barang-barang yang dipenuhkan di belakang Peter akan basah. Tanpa membuang masa, kami bergegas ke Giant berhampiran untuk membeli kanvas, tali dan beberapa barang keperluan lain.

 

10 April, 9.03 malam

Masa-masa beginilah semua kawan dan lawan menghantar Whatsapp gambar makan malam. Kali terakhir aku dan Shafiq makan adalah pada pukul 10:30 pagi tadi. Aku perati sahaja gambar mereka berkongsi itu.

 

10 April, 10:10 malam

Selepas memunggah barang dari kereta Shafiq masuk ke Peter, kami pergi mengambil buku-buku pula. Rahman, brader cool kita sudah sedia menunggu bersama-sama 7 kotak buku rupanya. Aku nganga. Shafiq geleng kepala. Kami bertiga kerahkan tenaga mengangkut buku dari tingkat dua bangunan kedai masuk ke badan Peter. Adik Wafi yang comel macam rasa nak cubit pipi pula asyik Whatsapp bertanya bila nak sampai rumah Kak Raiha, bersamanya Shuhada dan Fazilah. Tak sabar betul adik Wafi nak berjumpa anak-anak ini ya.

 

10 April, 11:22 malam

Dari Bangi, kami bergerak ke rumah Kak Raiha. Dalam perjalanan, Shafiq tak putus-putus berdoa semoga hujan tak turun kerana belakang Peter masih belum dilitupi kanvas. Masih ada 3 kotak buku untuk dipunggah masuk ke dalam Peter di rumah Kak Raiha.

 

11 April, 1:15 pagi

Tak hujan dan kami tiba di rumah Kak Raiha. Dia dan suami mengarahkan kami tidur dahulu kerana kelihatannya mata masing-masing dah rabak. Pagi esok baru gerak katanya. Adik Wafi dan yang lain juga sudah tidur. Kami sempat memunggah kotak buku di rumah Kak Raiha masuk ke dalam Peter, selain menutupi belakang badan Peter dengan kanvas, yang diikat dengan tali. Selepas itu aku tidur.

 

11 April, 6:28 pagi

Seusai Solat Subuh, kami bergerak dari rumah Kak Raiha dengan Peter dan Myvi Fazilah yang lucu dan lincah ke Kupang, Kedah, destinasi pertama kami. Anak Kak Raiha, Safiyyah yang berumur 8 tahun turut bersama kami.

 

11  April, 6:50 pagi

Tak sempat keluar dari Kuala Lumpur, kanvas di belakang badan Peter sudah koyak! Bukan koyak yang sikit-sikit pula tu. Heh, dasar barang mahal yang tiada kualiti! Aku dan Shafiq bertekad untuk buang sahaja penutup kanvas pada badan Peter. Kali ini aku betul-betul berharap pada Tuhan.

 

11 April, 1:10 petang

Kami tiba di sekitar Sungai Petani. Sepanjang 6 jam perjalanan ini, tiada apa-apa yang istimewa berlaku selain perkara biasa dalam road trip. Melalak dalam kereta, tidur, berbual tentang kisah-kisah yang aneh dalam percintaan serta ditinggalkan oleh kereta yang lincah dan lucu hingga sesat ke Kuala Ketil kerana ditinggalkan.

 

11 April, 2:56 petang

Kami tiba di rumah PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK YATIM DAN MISKIN NUR HIDAYAH (PEREMPUAN) disambut Pak Long (pengetua rumah) dan beberapa sukarelawan yang sudah sedia ada di sini. Pak Long begitu gembira menerima kami sampai tak sempat nak buat apa-apa lagi dah diajaknya makan. Kami menolak dengan rendah diri dan terus memunggah buku dan perabot keluar dari badan Peter.

Anak-anak (atau adik-adik pada mata aku kerana lingkungan umur mereka 10-17 tahun) di sini juga begitu teruja dengan kedatangan kami. Punyalah teruja sampai mereka sendiri yang memasang kerusi yang dibawa dan membantu memasang rak dan meja buku. Ada juga yang menolong menyusun buku-buku juga, yakni dengan itu memudahkan kerja-kerja kami.

Tak sempat aku nak kagum dengan lebih jauh, guruh berdentum dan hujan turun! Mujurlah anak-anak disini membantu kami. Maka dapatlah aku, Shafiq dan Rahman menguruskan buku-buku dan perabot yang masih dalam badan Peter untuk anak-anak di Pulau Pinang esok dari kebasahan. Shafiq ada membawa kanvas khemah untuk menutupi rak buku dan Pak Long menyediakan kami dengan plastik hitam yang besar untuk menutupi kotak-kotak buku. Meja dan kerusi IKEA mujur berbalut dengan plastik. Semuanya selamat. Buku-buku dan perabot untuk adik-adik di Kupang ini selamat. Buku –buku dan perabot untuk adik-adik di Pulau Pinang juga selamat. Ada yang kebasahan sedikit tapi masih baik dan sempurna. Nyatalah tuhan yang maha pengasih itu begitu kasih pada anak-anak ini.

 

11 April, 6:15 petang

Masa untuk beredar. Ringkas dan kekurangan masa bersama mereka tapi puas. Puas melihat riak wajah mereka. Kak Raiha dan Fazilah sempat bertukar-tukar nombor telefon dengan anak-anak ini. Mereka kelihatan berat untuk melepaskan kami terutamanya adik Wafi kami yang mengendali majlis bersama mereka sepanjang kami disini. Adik Wafi berjanji jika berkelapangan akan datang kembali.

 

11 April, 6:18 petang

Kami pergi. Sempat juga saya mengerling pada sisi cermin kereta. Pak Long dan beberapa anak-anak ini berdiri kaku dan melambai melihat Peter menjauhi mereka. Kaku kekal hingga hilang dari pantulan cermin.

 

DSC01436

Kakak-kakak TWB bersama anak-anak

DSC01437

Abang-abang TWB (termasuk penulis yang sopan hujung kanan)

11155164_1607299132816706_66501212514660061_o

Mengangkat perabut dari Peter

 

DSC01452

Anak-anak sedang menulis harapan mereka

 

 

 

 

Ainol Faiwizah ada menulis tentang “perasaan” dan “harapan” selepas mendapat buku dari Team Wakaf Buku melalui sumbangan dari anda warga dunia sekalian.

“Happy sangat sebab dapat buku baru dan menarik.”

“Semoga buku-buku-nie akan diperoleh lagi.”

Anda semua mungkin tidak mengenal Ainol Faiwizah ini, dan saya sakan melupai nama ini sehari dua lagi. Tetapi suara kecil “perasaan” dan “harapan” Ainol Faiwizah tak akan mati selagi masih ada yang sudi mendengar.

 

11103163_1607290719484214_4721419874726895268_o

Semoga KhutubKhanah yang kami wakafkan akan menjadi titik perubahan dalam hidup anak-anak.

 



Comments are closed.

Team The Wakaf Buku
KhutubKhanah #7 – Kisah Peter dan Anak-Anak
KhutubKhanah #9 – Pahlawan-pahlawan Merah
TWB KhutubKhanah #1 – Rumah Anak Yatim Firdaus Al-Warisi