KhutubKhanah #5: Gituan dan Bulan terang di Long Semadoh, Lawas, Sarawak

Catatan sukarelawati kami ke sana

Long Semadoh, Lawas – Tidak sampai seminggu meninggalkan bumi Borneo, sudah mula merindukan wajah kudus anak-anak kawasan pedalaman di daerah Lawas, Sarawak pada 14 Februari lalu. Saya dan teman, Arumi mewakili tim The Wakaf Buku sempat membawa amanah masyarakat menjalankan misi membawa bantuan berupa buku-buku,meja dan juga almari bagi membuka perpustakaan di sekolah mereka. Takjub dan terharu! Itulah kata-kata yang dapat saya ungkapkan atas sambutan serta layanan yang diberikan, seolah-olah mereka begitu menanti-nanti sumbangan dan bantuan dari masyarakat Malaysia. Kata guru besar Sekolah Kebangsaan Long Semadoh, En.Jonathan Labo, “Kami tidak memandang berapa banyak sumbangan yang diberikan, yang kami cukup terharu adalah ada insan-insan yang sudi menjenguk kami di kawasan ini dan meraikan pendidikan anak-anak di kawasan Long Semadoh!”

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 10 jam untuk sampai ke sekolah, bermula dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu selama 2 jam 30 minit, kemudian menaiki kereta dari bandar Kota Kinabalu ke pekan Lawas selama 4 jam dan berakhir dengan perjalanan yang mencabar menaiki pacuan 4 roda menelusuri kawasan berbukit bukau dan pembalakan selama lebih kurang 4 jam juga. Sepanjang perjalanan, saya tidak henti-henti berfikir, kenapa jalan-jalan ini tidak pernah disempurnakan sedangkan kita sudah lebih 50 tahun merdeka dan bumi Sarawak ini kaya!

Sesampainya di situ, kami disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh warga sekolah, dari pakcik jaga, tukang masak, cikgu-cikgu,dan guru besar. Termasuk juga binatang peliharaan di situ turut seperti tercengang-cengang memerhatikan tetamu apakah yang datang ini? Wajahnya sudah seperti orang Long Bawang (penduduk setempat) tapi cakapnya bahasa apa bah tidak faham. 🙂

Melihatkan suasana pembelajaran di sini, sungguh, ianya cukup berbeza dengan apa yang kita lihat di Semenanjung. Tidak banyak kemudahan yang mereka dapat. Jangankan kemudahan komputer, buku-buku pun tidak banyak. Rata-rata pelajar di sini tinggal di asrama sekolah kerana kekangan lokaliti dan geografi penempatan mereka yang menyukarkan perjalanan untuk ke sekolah. Lebih kurang 100 orang pelajar rendah tinggal di asrama kayu dan papan, dan lebih mengejutkan pelajar pra-sekolah seawal umur 2 tahun juga tinggal di asrama! Comel! Sungguh awal mereka belajar berdikari sedangkan kita mungkin pada usia itu masih bermain hingus dan botol susu.

Sesungguhnya misi ini membawa 1001 kebahagiaan bagi kami, bukan kerana seberapa banyak yang telah disampaikan, tetapi atas keberhasilan kami sampai ke sana membawa amanah kepada mereka yang memerlukan. Sekurang-kurangnya walaupun tidak dapat meningkatkan mutu pendidikan secara menyeluruh, dapat juga menjadikan anak-anak ini minat membaca dan celik ilmu itu sudah memadai. Kami juga mendapat nama baru yang diberikan oleh mereka secara spontan memanggil kami, saya dengan gelaran Gituan yang bermaksud bintang dan Arumi dengan nama Bulan. Kata mereka, “Anda seperti Bintang dan Bulan, datang membawa kecantikan dan kebaikan kepada kami.”

1506812_1590683131144973_7219457370610877031_n

Cikgu Shafiq Azli yang turut datang serta dari Kapit

1654089_946560402021225_1451976854522681922_n

Sukarelawan kami bersama anak-anak Long Semadoh

10426182_1590683161144970_3687183646639129814_n

Sukarelawan bersama guru

10488252_1590683421144944_7279222554152539333_n

Komuniti Long Semadoh yang bersama-sama membina rak, kerusi dan meja untuk KhutubKhanah baru mereka

10930145_946560128687919_8497852331287815487_n

Lori Balak dengan Sarawak berpisah tiada

10997787_946560398687892_2646441495889072160_n

Muka jejaka-jejaka masa hadapan

11021177_1590683597811593_6264580239489117901_n

Pengetua SK Long Semadoh yang sporting

11025985_946560178687914_3768916392679816080_n

The Wakaf Buku mengucapkan terima kasih kepada komuniti Long Semadoh atas bantuan mereka sepanjang kami di sana

gituan dan bulan

Gituan dan Bulan yang telah menerangi hidup anak-anak SK Long Semadoh.

Semoga lebih banyak Gituan dan Bulan di luar sana dapat meneruskan usaha-usaha ini kepada masyarakat yang memerlukan. Makanya, semoga usaha kami yang kecil ini dapat membantu melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan cerlang dalam menjadi tonggak masa depan. Sesungguhnya pendidikan dan ilmu itu adalah hak untuk semua. Tiada suatu pun yang mustahil apabila sesuatu itu kita lakukan dengan sebaiknya. Kita yang mencorak masa depan!

“There are two ways you can live: as if nothing is a miracle or as if everything is a miracle”. – Albert Einstein

Fastabiqul khairat!



Comments are closed.

KhutubKhanah #9 – Pahlawan-pahlawan Merah
KhutubKhanah #6: Perjalanan bak “The Hobbit” ke Tuaran, Sabah
KhutubKhanah #4: Menjelajah Bumi Sarawak
Makluman Projek KhutubKhanah No. 2 – Ray Ummu Zainab